mutakhir

Lelaki ditemukan meninggal dunia di bilik [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Kebimbangan keluarga selepas mendapati salah seorang daripada mereka tidak keluar bilik hampir seharian terjawab apabila menemukannya terbaring tidak bernyawa di atas katil di rumah mereka di Taman Bersatu, Simpang Pulai di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pekerja swasta berusia 20-an itu ditemukan ahli keluarga dalam keadaan tidak bernyawa di dalam bilik yang berkunci.

"Mangsa dikatakan sudah tidak keluar bilik sejak daripada siang dan tidak juga bangun-bangun selepas pintu diketuk.

"Mereka selepas itu meminta bantuan jiran membuka pintu bilik yang terkunci dari dalam sebelum ahli keluarga menemukan mangsa dalam keadaan terbaring," katanya kepada pemberita ketika meninjau di lokasi kejadian di sini, tengah malam tadi.

Yahaya berkata, polis sebelumnya menerima panggilan daripada pihak forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada 6.30 petang bagi menjalankan siasatan atas satu kematian.

"Kita menemukan satu mayat yang terbaring di atas katil, pada mulanya kematian dilihat dalam keadaan mencurigakan kerana secara kasar seolah-olah ada unsur jenayah berikutan beberapa ikatan tali pada bahagian badan mangsa.

"Namun, apabila diperiksa secara dekat, ia bukanlah satu ikatan yang boleh mematikan mangsa dan siasatan dijalankan didapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku dalam bilik tempat kejadian," katanya.

Katanya, susulan itu pihak polis setakat ini mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian secara mengejut.

"Kita ada menemui satu cecair yang kita percaya boleh mengakibatkan kematian, jadi kita akan menghantar cecair itu ke jabatan kimia untuk diketahui apa kandungannya.

"Jadi, kita percaya barang kes yang dijumpai itu boleh membantu siasatan punca kematian. Mayat akan di bedah siasat esok (hari ini) untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa," katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2021 @ 8:10am
d