mutakhir

Lima tan Musang King dari Raub ke Singapura, setiap hari [METROTV]

Oleh Mohd Rafi Mamat

Raub: Permintaan tinggi terhadap durian Musang King keluaran daerah ini memberi pendapatan lumayan kepada pekebun serta pemborong apabila lebih lima tan buah berkenaan dihantar ke Singapura, setiap hari.

Harga lebih tinggi turut menarik minat individu terbabit untuk lebih menumpukan pasaran raja buah itu terus ke negara jiran yang begitu menggemari produk berkenaan sejak beberapa tahun lalu.

Pemborong durian, Dong Chee Hong, 35, berkata ,setiap hari, dia menghantar durian Musang King ke Singapura antara satu tan hingga lima tan, jumlahnya akan bertambah apabila pengeluaran buah berada pada kemuncaknya.

Menurutnya, durian Musang King, D24, Tekka dan IOI setiap tahun mendapat permintaan begitu tinggi daripada penduduk negara jiran itu berikutan faktor rasa yang lebih sedap selain warna isi kekuningan.

Katanya, buah gred A dan B sahaja dihantar ke negara jiran itu, penggemar durian di sana sentiasa menitik beratkan pada kualiti buah yang akan mereka makan.

"Durian Musang King, D24, Tekka dan IOI keluaran daerah ini begitu terkenal di Singapura termasuk China, Hong Kong dan Taiwan. Setiap tahun permintaan begitu menggalakkan hingga tidak mencukupi," katanya, di sini semalam.

Dia yang mempunyai pusat pengumpulan durian di Sungai Ruan, di sini, berkata, pada musim kali ini, bekalan durian Musang King tidak mencukupi susulan pengeluaran buah oleh lebih 100 pekebun masih dianggap rendah dan tidak dapat memenuhi permintaan.

Menurutnya, tahun lalu, dia menghantar lebih 100 tan durian Musang King, D24, Tekka dan IOI ke Singapura.

Selain itu katanya, di daerah ini, terdapat beberapa pemborong yang aktif menjalankan operasi jualan durian ke luar negara sebanyak dua kali setahun.

Tinjauan di Sungai Ruan yang terkenal dengan pengeluaran durian di negeri ini mendapati aktiviti pengumpulan raja buah itu begitu rancak, terdapat lebih 15 pusat pengumpulan yang begitu aktif.

Disiarkan pada: July 3, 2021 @ 8:48am
d