mutakhir

Nasib wanita ditinggalkan hutang RM1 juta dapat perhatian Dr Zulkifli

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Nasib seorang wanita yang ditinggalkan suami warga asing dengan hutang hampir mencecah RM1 juta mendapat perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr Zulkifli mengetahui mengenai kesukaran hidup dihadapi wanita yang dikenali sebagai Faizah selepas menerima kiriman emel daripadanya.

Beliau yang berkongsi mengenai nasib wanita itu melalui akaun Facebook (FB) miliknya malam tadi berkata, dalam emel berkenaan Faizah berkongsi kehidupan sebenar yang dilaluinya bersama anak-anak selepas ditinggalkan suami.

Menurutnya, Faizah menyatakan sebelum ini kehidupannya bersama suami dan anak-anak bahagia dan keadaan mula berubah selepas suami menghilangkan diri dengan meninggalkan beban hutang yang banyak.

Katanya, wanita berkenaan menguruskan anaknya seorang diri dan demi desakan hidup beliau membuat pinjaman Ah long bagi menyelesaikan hutang.

"Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu merencatkan sumber pendapatan Faizah termasuk anak-anaknya yang hilang pekerjaan, seorang daripada anaknya masih menuntut di universiti.

"Saya beranggapan beliau adalah seorang ibu yang cekal, namun ia tidak dapat mengubah keadaan kerana pandemik Covid-19 yang berlarutan menyukarkan pergerakannya.

"Saya doakan beliau dapat mengharungi pandemik ini dengan lebih bersemangat dan tabah bersama anak-anak tercinta," katanya.

Semalam, Dr Zulkifli bersama beberapa agensi bawahnya hadir ke kediaman wanita itu bagi membantu meringankan beban keluarganya.

Pada kunjungan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melalui Baitulmal menyalurkan bantuan Skim Bantuan Menyelesaikan Hutang, Skim Bantuan Kecemasan Skim Bantuan Am Pelajaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) Dalam Negeri dan Skim Bantuan Perniagaan dan Bimbingan Keusahawanan.

MAIWP juga berbesar hati melunaskan sewa beli bulanan rumah yang didudukinya untuk beberapa bulan.

Turut menyumbang, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan menyumbangkan wang tunai dan mendaftarkan beliau sebagai penerima modal perniagaan wanita Arrahnu Biznita termasuk menyalurkan barang asas dapur serta bantuan pengajian kepada anak beliau yang masih menuntut di universiti.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui Tabung Musa'adah juga menyampaikan sumbangan wang tunai untuk perbelanjaan harian keluarga itu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 3, 2021 @ 11:30am
    d