mutakhir

Polis siasat anggota minta duit

Oleh Norzamira Che Noh

Klang: Satu kertas siasatan tatatertib dibuka Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara susulan tular rakaman video anggotanya yang didakwa meminta wang sogokan daripada seorang pemilik pikap di Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang pada 1 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kertas siasatan itu dibuka selepas pihaknya mengesan ciapan semula rakaman video oleh seorang pengguna Twitter yang menunjukkan tindakan anggota itu.

"Polis sudah mengenal pasti pelaku iaitu anggota yang terbabit dan siasatan lanjut sedang dijalankan terhadapnya.

"Polis menyeru supaya pemilik akaun atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut supaya menghubungi IPD Klang Utara untuk membantu siasatan," katanya menerusi satu kenyataan di akaun Facebook, Polis Daerah Klang Utara.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi satu minit dua saat yang memaparkan dua anggota polis menahan seorang lelaki di tepi jalan dan kedengaran seakan mereka meminta wang daripada pemilik kenderaan terbabit.

Insiden berkenaan dikatakan berlaku pada 11.41 pagi di laluan Pelabuhan Klang menghala ke Bandar Sultan Suleiman.

Disiarkan pada: July 4, 2021 @ 12:16pm
d