mutakhir

Suami isteri tinggal bawah jambatan diberi bilik sewa

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Pasangan suami isteri yang tular di media sosial selepas ditemukan tinggal di bawah jambatan di Kampung Sedeng di sini, baru-baru ini dipindahkan ke bilik sewa semalam.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Segamat, Mohamad Kamil Helmi Mohd Pang berkata, melalui pengesahan dokumentasi, lelaki berusia 35 itu mendirikan rumah tangga dengan wanita mualaf berusia 30 tahun berkenaan pada Disember lalu.

Katanya, selepas mendapat maklumat, JKM menyantuni keluarga berkenaan kelmarin dan menghulurkan bantuan segera bakul makanan.

"Perbincangan JKM bersama pemimpin setempat turut diadakan dan dengan persetujuan pasangan terbabit, satu keputusan bersama dibuat iaitu mencari penempatan yang berdekatan dengan tempat kerja lelaki berkenaan.

"Mereka diberikan bilik sewa yang terletak di tingkat atas bangunan kedai di bandar Segamat yang turut mendapat persetujuan daripada pemilik bangunan.

"Alhamdulillah, semalam kita sudah membawa masuk mereka dan menyediakan keperluan seperti tikar, selimut dan tilam," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Mohamad, pasangan warga tempatan itu turut akan menerima bantuan RM300 yang akan diserahkan JKM dengan segera.

Di samping itu, JKM turut mempertimbangkan bantuan bulanan berjumlah RM300 selama setahun di bawah skim bantuan am.

Terdahulu, tular keadaan daif sepasang suami isteri ini yang tinggal di bawah jambatan sejak beberapa bulan lalu hingga mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial.

Disiarkan pada: July 4, 2021 @ 12:37pm
d