mutakhir

Beruang matahari mati dilanggar

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Seekor beruang matahari mati akibat dirempuh sebuah kereta di Kilometer 367.5, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Bukit Besi, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 8.30 pagi, beruang yang dianggarkan seberat 50 kilogram itu dipercayai melintas di lebuh raya terbabit.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, ketika kejadian, kereta dipandu seorang guru wanita berusia 55 tahun dari arah Kuala Terengganu tidak sempat membrek dan merempuh beruang matahari itu yang melintas secara tiba-tiba.

"Kejadian itu turut menyebabkan kereta dipandu wanita itu hilang kawalan dan melanggar besi pembahagi jalan.

"Guru terbabit dari Bukit Payung dalam perjalanan ke Sekolah Menengah Padang Pulut sebelum terbabit kemalangan itu, "katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, guru terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan bangkai beruang terbabit dibawa ke tepi jalan bagi mengelak dilanggar kenderaan lain.

Disiarkan pada: July 4, 2021 @ 3:09pm
d