mutakhir

Anggota APM tercabut tulang pinggul jatuh bumbung

Oleh Rosli Ilham

Dungun: "Tak sangka atap yang saya pijak reput menyebabkan saya terjatuh dan tulang pinggul tercabut," kata anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Leftenan Muda (PA) Farah Nadia Abdollah, 33.

Katanya, kejadian berlaku 19 Mei lalu ketika sedang melakukan operasi memusnah sarang tebuan di sebuah rumah di Kampung Tanah Lot, kira-kira jam 10.30 malam.

"Sebaik menerima laporan, saya bersama seorang rakan setugas ke rumah berkenaan dan mendapati satu sarang tebuan besar di bumbung rumah itu.

"Kami terpaksa memanjat setinggi kira-kira 13 meter untuk naik ke atas bumbung itu.

"Ketika sedang memusnahkan sarang tebuan kaki kanan saya disengat seekor tebuan.

"Saya tak tahu bagaimana tebuan itu boleh masuk ke dalam kasut saya dan dalam kesakitan saya berjaya memusnahkan sarang itu sepenuhnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Gong Pasir, hari ini.

Terdahulu, Farah Nadia menerima sumbangan daripada Pengurus Pertubuhan Keselamatan Sosial negeri Terengganu, Farihah Che Husin,

Turut hadir, Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah dan Pengurus Perkeso Dungun, Nor Afizah Aziz.

Farah berkata, ketika cuba turun dari bumbung rumahnya, dia terpijak sekeping atap yang reput dan terjatuh ke dalam rumah terbabit.

"Saya dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

"Sepanjang 11 tahun terbabit dalam operasi memusnahkan sarang tebuan, inilah kali pertama saya berdepan pengalaman pahit," katanya.

Katanya, dia belum pulih sepenuhnya dan terpaksa berjalan menggunakan tongkat.

"Alhamdulillah dengan adanya sumbangan melalui faedah hilang upaya daripada Perkeso ini dapat membantu saya membiayai perbelanjaan harian dan ubatan.

"Saya berterima kasih kepada APM kerana mencarum melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS)," katanya.

Sementara itu, Farihah berkata, seramai 13,257 pencarum aktif di negeri ini mencarum di bawah SKSPS bernilai RM1.8 juta sejak Januari sehingga ke hari ini.

Menurutnya, pihaknya mendapati jumlah pencarum di bawah SKSPS di negeri ini masih rendah berbanding data sebenar yang bekerja sendiri di negeri melebihi 100,000.

"Kita berharap mereka yang belum mencarum supaya mendaftar segera di laman web atau hadir di pejabat Perkeso berhampiran.

"Golongan bekerja sendiri ini perlu sedar dengan membuat caruman melalui skim ini mereka akan dapat menikmati pelbagai faedah sekiranya ditimpa sebarang musibah, "katanya.

Sementara itu, Mohd Rosman berkata, seramai 320 anggota kontrak APM di seluruh Terengganu sudah mendaftar membabitkan caruman sebanyak RM74, 496.

"Kesemua mereka didaftarkan dan dilindungi di bawah pelan kedua SKSPS selama satu tahun.

"Kes yang berlaku kepada Farah adalah kes pertama sejak membuat caruman," katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2021 @ 8:17pm
d