mutakhir

Kerana susah tidur, lelaki kelar leher sendiri

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Akibat menghadapi masalah tidur dan terlalu banyak berfikir, seorang lelaki berusia 36 tahun parah selepas mengelar lehernya sendiri menggunakan sebilah pisau.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, lelaki yang tinggal di Bandar Sunggala itu dikejarkan ke Hospital Port Dickson untuk menerima rawatan lanjut selepas insiden berkenaan.

"Pihak polis menerima panggilan semalam sekitar jam 9.20 pagi memaklumkan seorang lelaki mengelar lehernya.

"Mangsa berusia 36 tahun yang juga seorang peniaga restoran di Teluk Kemang, Port Dickson sudah berkahwin dan mempunyai empat anak," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, kejadian berlaku di tandas bilik tidur utama ketika isteri mangsa sedang tidur.

"Isteri mangsa terdengar jeritan mangsa di dalam tandas dan terkejut apabila melihat mangsa dalam keadaan berlumuran darah sambil memegang leher.

"Senjata pisau yang digunakan oleh mangsa dipercayai diambil dari dapur rumah mangsa sendiri," katanya.

Aidi Sham berkata, beliau percaya, perbuatan mangsa dipercayai akibat dari tindakan mangsa sendiri.

"Mangsa mengalami kecederaan teruk di leher (urat putus) sebelum dipindahkan ke Zon Merah Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk rawatan lanjut.

"Berdasarkan maklumat diperolehi dari pegawai perubatan, mangsa sebelum ini pernah mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Port Dickson kerana mengalami masalah tidak boleh tidur malam kerana mengalami masalah 'anxiety'," katanya.

Katanya, menurut isteri mangsa, sebelum kejadian suaminya kerap menghadapi masalah tidur dan terlalu banyak berfikir dan memaklumkan lelaki itu tiada sebarang masalah kewangan atau peribadi.

"Keadaan mangsa kini stabil selepas menjalani pembedahan di HTJ Seremban dan sudahpun dipindahkan ke wad untuk pemantauan.

"Walaubagaimana pun, mangsa akan dirujuk dengan pakar psikiatrik untuk rawatan lanjut selepas dibenarkan keluar dari HTJ," katanya.

Katanya, siasatan polis mendapati punca kejadian bukan disebabkan faktor kewangan.

Disiarkan pada: July 4, 2021 @ 9:25pm
d