mutakhir

Lelaki dakwa tidak tahu salah miliki 5 Raifal tiruan

Oleh Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: Polis merampas lima Raifal tiruan ketika mengadakan serbuan di sebuah stor di Jalan Permatang Pauh, di sini, semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, hasil serbuan polis menjumpai lima senapang Raifal tiruan jenis HK416 dan M16.

"Ketika serbuan terdapat seorang penjaga stor lelaki berusia 25 tahun dan dia ditahan untuk tindakan selanjutnya.

"Selain senapang, polis turut merampas telefon bimbit dan dua botol minuman berkarbonat yang didalamnya terdapat ketulan gel kecil," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan ke atas suspek yang ditahan mendapati dia membeli senapang Raifal tiruan berkenaan melalui aplikasi e-dagang dan akan menjual semula kepada sesiapa yang mahu membelinya.

"Semakan lanjut ke atas suspek mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.

Suspek yang terbabit dalam kegiatan itu sejak Januari lalu mendakwa tidak tahu ia menyalahi undang-undang.

Lelaki itu dikatakan membeli senapang berkenaan sebelum diubahsuai dan menjualnya pada harga berganda bagi mengaut keuntungan.

Disiarkan pada: July 4, 2021 @ 11:56pm
d