mutakhir

Remaja berlumba haram maut, positif Covid-19 [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Dua remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dipercayai ketika sedang berlumba di landasan Lapangan Terbang Lama Tawau dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian 5.30 petang itu, Mohamad Ekhsan, 16, dan Rendy Salombe,15, masing-masing dari Kampung Seri Menanti dan Kampung Tanjung Batu Darat di sini, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua motosikal ditunggang mangsa bertembung sesama sendiri.

"Selain tidak memiliki lesen, ketika kejadian kedua-dua penunggang juga tidak memakai topi keledar dan disyaki mereka terbabit dalam aktiviti lumba haram," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Peter berkata, pihaknya sedang mengesan pemilik sebenar sebuah motosikal yang terbabit dalam kemalangan itu berikutan alamat pemilik berdaftarnya adalah di Semporna.

Menurutnya, ujian saringan Covid-19 juga mengesahkan seorang daripada mangsa didapati positif virus itu.

"Bagaimanapun, sampel darah mereka sudah diambil untuk dianalisa dan proses bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sejak malam tadi, tular di media sosial rakaman kemalangan membabitkan dua buah motosikal dengan kedua-dua mangsa masing-masing terbaring di atas jalan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 11:27am
    d