mutakhir

Hampir 17 juta sudah daftar vaksin Covid-19

Oleh Amir Abd Hamid dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Seramai 16,946,192 orang sudah berdaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) setakat hari ini.

Menteri Penyelaras Pick, Khairy Jamaluddin berkata, daripada jumlah itu, seramai 5.4 juta adalah pendaftaran bagi Fasa 2 dan 11.5 juta pula adalah bagi Fasa 3.

Menurutnya, jumlah warga emas yang sudah berdaftar pula mencecah sebanyak 2.89 juta.

"Bilangan yang sudah divaksinasi dengan sekurang-kurangnya satu dos vaksin, secara keseluruhan untuk fasa dua adalah seramai 4,197,943 orang.

"Warga emas adalah seramai 2,301,657 atau 79.2 peratus daripada jumlah pendaftaran terkini, 66 peratus daripada jumlah populasi warga emas di Malaysia.

"Orang Kurang Upaya (OKU) membabitkan seramai 127,775 dan mereka yang mempunyai komorbiditi (menghidap dua atau lebih penyakit serentak) seramai 3,853,554," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mingguan secara hibrid mengenai perkembangan Pick yang turut disertai Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, hari ini.

Menurutnya, lebihan kira-kira 20.8 peratus daripada jumlah warga emas yang berdaftar kebanyakannya sudah diberikan janji temu dan dijangka menerima suntikan dos pertama mereka pada bulan ini.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, Perlis sudah memulakan pelaksanaan fasa ketiga pada minggu lalu.

"Ini bermakna Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya, Melaka, Pulau Pinang, Sarawak, Selangor dan Perlis sudah memulakan fasa ketiga Pick.

"Negeri ini sudah merekodkan sekurang-kurangnya 80 peratus vaksinasi ke atas golongan warga emas mereka yang berdaftar," katanya.

Sementara itu, katanya, Pick sudah memulakan vaksinasi untuk pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Namun, katanya, terdapat isu di mana pada tarikh vaksinasi mereka belum lagi mencecah usia 18 tahun.

"Untuk golongan ini, vaksinasi masih boleh diberikan sekiranya mereka mencecah usia 18 tahun pada tahun ini (2021).

"Satu syarat lain yang perlu dipenuhi adalah ibu bapa atau penjaga mereka perlu menandatangani surat perakuan kebenaran (consent form) bagi tujuan ini.

"Sehingga minggu ini, kita sudah memberi sejumlah 8,615 janji temu bagi permohonan awal untuk kategori pelajar yang ingin menyambung pengajian ke luar negara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 4:41pm
    d