mutakhir

Isu pekebun durian: Polis saran hormati undang-undang [METROTV]

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap individu atau pihak yang cuba menggangu ketenteraman awam seperti kekecohan membabitkan pekebun durian dan anggota penguat kuasa di Raub.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebaiknya segala tindakan yang ingin dilakukan perlu berlandaskan undang-undang kerana boleh mencetuskan kegusaran orang ramai.

Menurutnya, pihaknya menasihati individu atau pihak yang cuba mencetuskan kekecohan supaya menghormati undang-undang.

"Bukannya bertindak menengking pegawai dan anggota polis yang menjalankan tugas. Pada masa sama, saya memuji sikap (tenang) anggota dalam menangani kes berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Ramli berkata demikian selepas melihat video yang tular di media sosial membabitkan beberapa ahli politik yang dikatakan melakukan provokasi terhadap pegawai dan anggota polis ketika proses reman terhadap 18 pekebun durian di Mahkamah Raub, semalam.

Mengulas kejadian terbabit, katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan IPK Pahang.

"Yang jelas antara kesalahan yang dilakukan ialah rentas daerah dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Setakat ini yang dilihat video itu, individu terbabit gagal menunjukkan surat rentas daerah apabila dminta anggota polis," katanya.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) semalam, seramai 18 pekebun ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.

Semua pekebun terbabit dibawa ke IPD Raub kerana membuat provokasi melampau kepada anggota jabatan itu.

Disiarkan pada: July 6, 2021 @ 4:19pm
d