mutakhir

Tiada provokasi, operasi musnah kebun durian Musang King lancar

Oleh Mohd Rafi Mamat

Raub: Hari kelima operasi musnah kebun durian Musang King yang ditanam secara haram di dalam Hutan Simpan Batu Talam di sini, berjalan lancar tanpa provokasi melampau daripada pekebun.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata hari ini terdapat pertambahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara untuk mengawal keselamatan petugas.

Menurutnya, anggota polis dan PGA turut mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) 24 jam dilaluan utama masuk ke kawasan kebun durian terbabit.

"Kawalan juga membabitkan jambatan simen yang sebelum ini dua kali dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

"Saya berharap operasi musnah kali ini dapat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan daripada mana-mana pihak.

"Hari ini kita menambah lebih 30 kakitangan JPNP dari beberapa daerah untuk turut sama menyertai operasi musnah, menjadi kira-kira 65 kakitangan yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan penebang," katanya, di sini hari ini.

Beliau yang turut sama menyertai operasi berkenaan berkata, kehadiran anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) turut dapat melancarkan lagi aktiviti menebang pokok durian.

Nor Azirim berkata, pihaknya berharap operasi musnah kebun durian Musang King yang ditansm secara haram dalam Hutan Simpan Batu Talam seluas kira-kira 101 hektar dapat diselesaikan secepat mungkin lebih awal yang tetapkan sebelum ini.

Disiarkan pada: July 7, 2021 @ 1:03pm