mutakhir

6 bulan, PPM rampas lebih RM220 juta

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sebanyak 3,435 aktiviti pelanggaran undang-undang di perairan negara dengan nilai rampasan berjumlah RM220,443,106 berjaya dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) sejak awal Januari hingga Jun tahun ini.

Komander PPM Bukit Aman Deputi Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, berlaku peningkatan sebanyak RM164,682,477 atau 295 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

"Sebanyak 38,694 kapal tempatan dan asing diperiksa berbanding 26,908 pada tahun lalu manakala orang yang diperiksa seramai 157,467 orang.

"PPM masih mengekalkan tiga teras utama bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman di perairan negara iaitu pencegahan dan penurunan kadar jenayah; menstabilkan kesejahteraan rakyat serta penguatkuasaan berterusan dan penyampaian perkhidmatan kepolisan yang terbaik kepada masyarakat.

"Keberhasilan kejayaan ini memperlihatkan aktiviti pelanggaran undang-undang membabit penyeludupan kontraban, penyusupan pendatang asing tanpa izin, penyeludupan dadah dan pencerobohan nelayan asing," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, kes di bawah Akta Perikanan 1985 mencatatkan sebanyak 1,460 kes berbanding 625 kes sementara membabitkan Akta Imigresen 1959/63 ialah sebanyak 57 kes tahun ini.

"Bagi kesalahan di bawa Akta Kastam 1985 mencatatkan sebanyak 133 kes manakala selebihnya melibatkan kes seperti Akta Kawalan Bekalan 1961(115), Akta Perkapalan Saudagar (581) dan Akta kawalan Padi (117).

"Nilai rampasan membabitkan kesalahan antaranya di bawah Akta Kastam 1967 adalah sebanyak RM156.3 juta, Akta Dadah 1952 (RM18.8 juta) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM13.35)," katanya.

Menurutnya, kegiatan tersebut bukan sahaja merugikan dan memberi impak besar dari segi ekonomi malah memberi kesan terhadap keselamatan serta ketenteraman negara.

"PPM tidak akan berkompromi dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan aktiviti yang menyalahi undang-undang dapat dibanteras.

"Masyarakat setempat juga diharapkan dapat memberi kerjasama dan maklumat bagi membantu pihak berkuasa dalam melaksanakan tanggungjawab ini," katanya.

Disiarkan pada: July 7, 2021 @ 5:20pm
d