mutakhir

Predator, Black Panther agih sarapan percuma [METROTV]

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Gelagat tiga lelaki memakai kostum 'Predator' dan 'Black Panther' memberi sarapan percuma mencuri tumpuan pengguna jalan raya di hadapan Hotel Royal Penang, Jalan Larut, di sini, hari ini.

Tiga lelaki berkenaan, Mohd Nor Hisham Awang Nong, 47; Azhar A Rahman, 64 dan Wan Mohd Hafizi Wan Zakaria, 40, turut dilihat melambaikan tangan meminta pengguna jalan raya memberhentikan kenderaan di bahu jalan.

Penunggang motosikal, Mohd Ali Mohd Sharif, 55 berkata, dia terkejut apabila melihat individu memakai kostum watak berkenaan melambai memintanya berhenti ketika melalui jalan itu.

Katanya, ketika itu dia dari rumahnya di Lebuh Chulia dalam perjalanan bagi menghantar anaknya, Mohd Sharif, 23, mendapatkan rawatan mata di Hospital Pulau Pinang (HPP).

"Pada mulanya saya enggan berhenti kerana fikir ia hanya pertunjukan jalanan namun seorang daripada mereka menunjukkan bungkusan makanan dan memaklumkan ia adalah percuma.

"Terima kasih kerana beri makanan ini, dapatlah saya makan ketika menunggu giliran sebelum mendapatkan rawatan di hospital nanti," katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Mohd Nor Hisham berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan Hotel Royal Penang bagi menyediakan makanan percuma berupa 400 nasi lemak, 150 bihun serta 200 air kopi dan teh diberi kepada orang ramai khususnya yang mahu ke tempat kerja.

Dia yang memakai kostum Predator berkata, inisiatif itu adalah bagi membantu masyarakat selain memberi semangat kepada orang ramai sepanjang tempoh sukar ini.

"Memang kita semua terkesan, namun dengan sedikit sumbangan ini diharap dapat mendorong orang ramai supaya positif dengan semua perkara.

"Kami juga menerima sumbangan orang ramai bagi diagihkan kepada golongan memerlukan dan kepada yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi pihak pengurusan hotel di talian 016-41884749," katanya.

Disiarkan pada: July 8, 2021 @ 11:54am
d