mutakhir

UiTM dukacita, rakam takziah

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Universiti Teknologi MARA (UiTM) berdukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga dua pelajar di cawangan Kedah dan Pahang yang meninggal dunia baru-baru ini.

Jabatan Komunikasi Korporat UiTM berkata, pengurusan UiTM amat prihatin terhadap isu kematian kedua-dua pelajar itu dan mendoakan keluarga masing-masing diberikan kekuatan dan kesabaran dalam menempuh ujian ini.

"Pihak pengurusan UiTM amat prihatin terhadap isu kematian Nurul Natasya Ezreen Azemi, 22, pelajar Diploma Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Cawangan Kedah serta Muhammad Adham Hazim Mohd Rizaini, 21, Diploma Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Awam, Cawangan Pahang.

"Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, UiTM sentiasa prihatin bagi memastikan kebajikan dan kemudahan pelajar dalam menjalani sesi pembelajaran secara Open Distance Learning (ODL).

"Sehubungan itu, pelajar yang memerlukan kemudahan Internet dan peranti dibantu dan dialu-alukan untuk menginap di kolej atau rumah sewa berhampiran kampus.

"Bagi aspek pentaksiran dan penilaian, UiTM melalui Bahagian Hal Ehwal Akademik serta pensyarah sudah membuat pemakluman awal berkaitan tarikh-tarikh penting tugasan kepada pelajar di awal semester melalui pelan pengajian setiap kursus.

"Bahagian Hal Ehwal Akademik UiTM melalui inisiatif prihatin juga sudah melanjutkan aktiviti pentaksiran dan penilaian berterusan sepanjang minggu Penilaian Akhir sehingga Ogos depan," katanya.

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan melalui Pekeliling Akademik bil 11/2021 yang dikeluarkan dan dimaklumkan kepada semua pelajar dan pensyarah pada 18 Jun lalu.

"Pada masa sama, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Unit Kaunseling UiTM juga sentiasa peka dan bersiap siaga bagi membantu pelajar dalam memberi khidmat nasihat dan apa jua bantuan yang diperlukan pelajar dalam menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran secara ODL dalam situasi pandemik Covid-19 ini.

"Pelajar disarankan agar sentiasa berbincang dengan pensyarah, penasihat akademik atau ketua program masing-masing bagi menyelesaikan apa jua isu berkaitan pentaksiran dan penjadualan penilaian," katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2021 @ 12:08pm
d