mutakhir

4 penguat kuasa antara 12 orang ditahan berparti liar

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Empat penjawat awam antara 12 individu yang ditahan kerana menyertai parti liar di sebuah hotel di sini semalam.

Serbuan pada jam 9 malam itu menahan semua mereka yang berusia 20 hingga 35 tahun dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Dang Wangi.

Menurutnya, ketika serbuan didapati sembilan lelaki dan tiga wanita tempatan berada dalam bilik hotel itu, leka berhibur.

"Semua 12 individu ditahan atas kesalahan mengadakan majlis sosial dan empat daripada mereka yang ditahan didapati anggota penguat kuasa," katanya di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, polis turut merampas dadah jenis pil dan dua botol air ketum.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1)(a) akta sama serta kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021," katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2021 @ 9:04pm
d