mutakhir

Dugaan bapa tunggal

Oleh Redzuan Muharam

Shah Alam: Pemergian isteri tercinta pada 6 Februari lalu memberi kesan mendalam buat Mohd Nazri Ahmad yang sudah 13 tahun hidup bersama dengan sebelah jiwanya itu.

Disebabkan itu juga, emosi Mohd Nazri, 39, jadi tidak stabil pada mulanya kerana perlu meneruskan hidup dengan menggalas tanggungjawab menjaga sendiri enam anaknya yang berusia tiga hingga 12 tahun.

Bagaimanapun, Mohd Nazri yang menetap di Seksyen U9, di sini, akhirnya reda dengan ketentuan Ilahi dan kini boleh menyesuaikan diri dengan status dirinya sebagai bapa tunggal.

"Arwah isteri (Natasha Mikyal Abdul Wahab, 38) sudah lama menghidap asma iaitu sejak 2006 lagi tetapi keadaannya terkawal cuma pada tengah malam hari kejadian, dia mengadu sesak nafas serta minta hubungi ambulans.

"Saya cuba menenangkannya sebelum ambulans tiba dan dia sempat dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh namun arwah tidak dapat diselamatkan apabila doktor mengesahkannya meninggal dunia.

"Pada awalnya rasa tidak percaya dengan pemergian isteri tetapi itulah kenyataannya dan saya bersyukur kerana ada rakan, keluarga dan jiran yang banyak membantu sehingga pengebumian selesai," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Mohd Nazri berkata, fasa paling sukar buatnya selepas pemergian isteri adalah ketika membuat keputusan untuk menghantar tiga anak iaitu pasangan kembar, Seri Khadijah dan Muhammad Khalid, 6, serta Muhammad Idris, 3, ke rumah kakaknya di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Meskipun berat untuk berpisah dengan ketiga-tiga anaknya itu, Mohd Nazri terpaksa kerana enggan mereka terabai disebabkan dirinya yang sibuk dengan kerja.

"Saya ada ambil pembantu rumah selepas isteri meninggal dunia namun tidak sampai sebulan, dia berhenti dan serabut juga ketika itu hingga akhirnya saya menghantar tiga anak yang kecil ke kampung.

"Dalam perjalanan pulang ke Shah Alam, 10 kali juga saya berhenti kerana terlalu sedih berpisah dengan mereka.

"Tiga anak yang tinggal bersama nampak tidak gembira dengan ketiadaan adik mereka dan akhirnya, saya hantar mereka juga ke kampung," katanya yang bekerja sebagai pengasas syarikat penyedia perkhidmatan penghantar barang.

Kehidupan Mohd Nazri bagaimanapun menjadi bertambah sunyi menyebabkan dia nekad mengambil anaknya semula di kampung sebelum Aidilfitri lalu tetapi hasratnya itu terbantut berikutan larangan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya cuba mohon untuk merentas negeri tetapi tidak dapat kebenaran dan akhirnya berpuasa serta menyambut hari raya berseorangan di rumah.

"Selepas Aidilfitri, baru saya dapat ambil semula anak di kampung dan berasa kehidupan lengkap semula selepas mereka kembali ke rumah.

"Kebetulan, saya dan arwah isteri sudah didik anak lakukan kerja rumah jadi mereka sudah terbiasa cuma perlu dipantau saja.

"Soal makan minum mereka juga tidak menjadi masalah kerana jiran saya sering menghantar makanan ke rumah dan ada kalanya saya juga membeli daripada mereka. Syukur sangat kerana mereka amat memahami," katanya.

Menurut Mohd Nazri, biarpun sudah boleh menguruskan anak sendiri, dia tidak menolak sekiranya dipertemukan jodoh dalam waktu terdekat.

"Cuma, apa lebih penting wanita yang akan menjadi pasangan itu boleh menerima anak saya seadanya.

"Mengenai perkongsian di Facebook (Fb) itu adalah sekadar luahan saya yang masih terkenangkan arwah isteri kerana banyak memori kami bersama dan diharap, bapa tunggal di luar sana juga tabah dengan ujian Allah," katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2021 @ 2:50pm
d