mutakhir

Jangan terpedaya analisa luar negara

Oleh BERNAMA

Putrajaya: Sesetengah penganalisis luar negara tidak memberi gambaran tepat mengenai program vaksinasi covid-19 Malaysia kerana tidak menggunakan fakta terkini dalam membuat analisis perbandingan mereka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, maklumat daripada sebuah 'vaccine tracker' atau penjejak vaksin pada April lalu mengunjurkan Malaysia mengambil masa 4.9 tahun untuk mencapai jumlah vaksinasi 75 peratus populasi.

"Namun, jika tracker yang sama dibuka pada hari ini, tempoh 4.9 tahun itu sudah berubah menjadi lima bulan. Unjuran lima bulan ini adalah berdasarkan 262,000 dos sehari, manakala jika berdasarkan 375,000 dos sehari, jangkaan 75 peratus vaksinasi boleh dicapai dalam tempoh tiga hingga empat bulan," katanya.

Saifuddin dalam kenyataannya tadi berkata, ketika penjejak itu menerbitkan unjurannya pada April lalu, kerajaan Malaysia sudah mengeluarkan peta perancangan vaksinasi namun maklumat itu tidak digunakan dalam analisis berkenaan.

"Ini menyebabkan penilaian terhadap kedudukan Malaysia ketika penerbitan itu adalah tidak baik. Analisis data secara selektif seperti ini tidak memberi gambaran realiti yang sebenarnya dan boleh menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat," katanya.

Saifuddin berkata walaupun kini pihak terbabit sudah memperbetulkan maklumat itu namun penyebaran maklumat yang tidak tepat telah berlaku.

Beliau berkata vaksinasi adalah jalan terbaik bagi melindungi nyawa serta membawa negara keluar daripada pandemik covid-19.

Menurutnya, pelaksanaan program vaksinasi covid-19 mencapai prestasi memberangsangkan dengan sejumlah 11 juta suntikan berjaya diberi dan sedang menuju ke arah sasaran 80 peratus imuniti kelompok pada akhir tahun ini.

Memetik data Kementerian Kesihatan (KKM), Saifuddin berkata, kadar vaksinasi Malaysia bagi setiap 100 orang adalah lebih baik daripada sebilangan negara termasuk Amerika Syarikat, Korea Selatan, dan United Kingdom.

Disiarkan pada: July 13, 2021 @ 4:55pm
d