mutakhir

Tebalkan muka berhutang demi sesuap nasi

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: "Ada ketikanya saya terpaksa menebalkan muka untuk berhutang untuk membeli barang keperluan asas demi meneruskan kelangsungan hidup kami 10 beranak," kata Mizlinda Diana Hamat, 41.

Menurut Mizlinda Diana berkata, sebelum ini, suaminya, Mohd Rosdi Yaacob, 46, mencari rezeki sebagai nelayan terpaksa berhenti sejak lebih setahun lalu berikutan enjin bot miliknya mengalami kerosakan dan bagi menyara keluarga, mereka melakukan pelbagai kerja yang termampu.

Katanya, memiliki anak ramai ketika diri bergelut untuk meneruskan kehidupan bukanlah satu perkara yang mudah, sebaliknya menganggap lapan anak mereka termasuk pasangan kembar sebagai pembawa rezeki yang sudah diamanahkan Allah SWT untuk dijaga sebaik yang mungkin.

"Bagaimanapun, disebabkan kedaifan hidup, saya terpaksa menyerahkan anak ketiga, Nor Fatin Syafiqah, 13, ketika dia berusia empat bulan kepada abang ipar yang menetap di Kuala Lumpur kerana anak saya menderita penyakit saluran paru-paru sempit sejak dilahirkan dan sehingga kini masih mendapatkan rawatan susulan di hospital.

"Bagi meneruskan kelangsungan hidup dan membesarkan lapan lagi anak, kami menjual ikan perhiasan selain melakukan pelbagai kampung termasuk memotong rumput dan ada ketikanya saya mengambil upah mengemas rumah penduduk kampung dengan purata pendapatan yang diperoleh RM1,000 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Panjang, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Katanya, mereka memang bukan orang senang, namun kos hidup yang tinggi adakalanya menyulitkan mereka untuk membesarkan anak-anak, namun sebagai ibu bapa, mereka percaya setiap anak membawa rezeki masing-masing.

Mizlinda Diana berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka hanya mengharapkan ihsan jiran tetangga dan saudara mara yang menghulurkan bantuan makanan untuk kelangsungan hidup mereka 10 beranak.

"Ada ketikanya, saya terpaksa berhutang dengan saudara-mara terdekat dan juga kedai runcit untuk membeli barang makanan bagi mengalas perut.

"Hutang di kedai runcit sentiasa ada sehinggakan saya sudah berasa malu untuk terus berhutang makanan namun demi anak saya tebalkan muka kerana jika tidak, kami akan berlapar.

"Saya dan suami sudah biasa hidup susah, tetapi apabila melihatkan wajah anak-anak, kerap air mata ini jatuh kerana tidak mampu memberi keselesaan buat mereka," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam 03-018-02-160491-1 atas nama Mizlinda Diana Hamat atau boleh menghubunginya di talian 017-9725376.

Disiarkan pada: July 14, 2021 @ 10:48am
d