mutakhir

Usus perut terburai ditanduk lembu sado [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Usaha seorang lelaki membantu rakannya merawat seekor lembu sado yang cedera di kaki berakhir tragedi apabila usus perutnya terburai ditanduk lembu berkenaan jam 8 pagi semalam.

Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Hakim, 50, datang ke ladang ternakan lembu milik rakannya di Kampung Chakadong, Bukit Tembaga, Pokok Sena di sini, untuk membantu rakannya itu.

Pemilik ladang lembu itu yang hanya mahu dikenali sebagai Mat, 30-an berkata, lembu sado peliharaannya seberat lebih satu tan itu cedera di kaki.

"Hakim kerap datang ke ladang ternakan lembu saya untuk membantu menjaga haiwan ternakan ini. Bagaimanapun, semalam, lembu itu bertindak agresif, mungkin kerana tidak sihat.

"Namun sepanjang saya menternak lembu di sini, kejadian seperti itu tidak pernah berlaku," katanya ditemui di ladangnya hari ini.

Mat berkata, lembu sado baka 'blonde' itu berusia dua tahun lebih dan ia menanduk Hakim sebanyak tiga kali ketika mereka sedang merawat kakinya sebelum berjaya ditenangkan.

Katanya, sejurus kejadian, dia terus membawa Hakim ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.

"Keadaan Hakim kini stabil," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2021 @ 2:19pm
d