mutakhir

Mujur ada siput beliung, tak perlu naikkan bendera putih! [METROTV]

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: "Saya hampir menggantung bendera putih tetapi mujur ada siput beliung ini. Dapatlah saya mencari duit belanja untuk membeli barangan dapur serta susu anak," ujar bapa kepada empat anak Mohd Irfan Budin, 33,

Dia yang sebelum ini berniaga nasi lemak kukus di pasar malam hilang sumber pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan.

Katanya, kehadiran siput sebesar tapak tangan orang dewasa dipanggil siput beliung atau kemudi yang jarang ditemui itu memberi sumber rezeki walaupun berdepan kesukaran untuk mencarinya.

"Beliung ini amat jarang ditemui dan kehadirannya hanya disedari secara kebetulan oleh kawan yang menangguk udang di kawasan itu sebelum memberitahu kepada saya.

"Walaupun proses mencarinya agak sukar selain berdepan dengan ancaman sengatan obor-obor termasuk ular air namun saya tetap berusaha mengutipnya demi kelangsungan hidup," katanya ketika ditemui di Pantai Siring di sini, tadi.

Bapa kepada empat anak berusia antara setahun setengah hingga sembilan tahun itu berkata, dia tidak menyangka siput beliung itu menjadi sumber rezekinya buat waktu ini.

"Alhamdulillah saya dapat memperolehi sumber rezeki baru. Walaupun ada menerima bantuan bakul makanan tetapi saya perlu juga mencari duit untuk perbelanjaan lain.

"Turut sama turun ke laut mencari siput beliung adalah beberapa nelayan serta penduduk kampung yang terjejas pendapatan," katanya.

Menurutnya, sepanjang mencari siput ini, empat rakannya terpaksa dikejarkan ke hospital kerana terkena sengatan obor-obor dan seorang lagi masih dirawat akibat dipatuk ular air," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2021 @ 5:40pm
d