mutakhir

Kerajaan tubuh RCI siasat isu TH

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dipersetujui mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan isu berbangkit yang timbul hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga tahun lalu.

"Penubuhan RCI ini adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara yang dibangkitkan dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan LTH," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, penubuhan RCI juga adalah bagi memastikan satu siasatan dalaman yang telus dan amanah dapat dilaksanakan demi memastikan LTH menjalankan mandat dengan profesional dalam menguruskan wang deposit umat Islam.

Beliau berkata, antara terma RCI yang dipersetujui Jemaah Menteri adalah skop RCI akan tertumpu kepada hasil penemuan perunding ke atas isu berbangkit LTH dari 2014 hingga tahun lalu, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Menurutnya, RCI juga akan menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan mengelirukan, selain mengemukakan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan kepada kerajaan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan.

"RCI juga akan mengesyorkan tindakan sesuai diambil terhadap pihak terbabit, sama ada secara langsung atau tidak langsung, jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Perincian berhubung penubuhan RCI dari segi terma dan rujukan serta keanggotaannya akan diumumkan dalam masa terdekat dan Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI dari kalangan pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan," katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2021 @ 6:49pm
d