mutakhir

Lelaki tumbuk polis wanita, conteng tembok istana maut kemalangan [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Lelaki yang dipercayai terbabit dua kejadian khianat di sini, hari ini, maut apabila motosikal ditunggang terbabas di Bedong, Sungai Petani, dekat sini.

Lelaki berusia 30-an itu disyaki terbabit dalam kejadian khianat dengan menconteng dinding tembok Istana Anak Bukit, di sini, pada 3 petang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, suspek bagaimanapun melarikan diri dan siasatan di lokasi kejadian mendapati suspek menconteng di bahagian tembok dinding istana dengan tulisan 'SAMR'.

"Siasatan juga mendapati suspek menggunakan motosikal berwarna hitam. Susulan kejadian itu, polis memulakan operasi mengesan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, kira-kira jam 5 petang pula, suspek terbabit dipercayai ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar dan menumbuk seorang anggota polis wanita yang sedang bertugas hingga cedera di muka.

Selain itu, katanya, suspek turut membaling satu objek disyaki pistol mainan lalu melarikan diri dengan menggunakan motosikal warna hitam.

Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan berjaya mengesan seorang suspek lelaki yang dipercayai terbabit di dalam kedua-dua kejadian ini.

Kamarul Zaman berkata, hasil serbuan dilakukan, polis berjaya menemui motosikal yang digunakan ketika kejadian menconteng di tembok Istana Anak Bukit itu.

Katanya, usaha mengesan suspek diteruskan sebelum ditemui suspek di kawasan Gurun, Sungai Petani.

"Suspek yang menyedari kehadiran polis kemudian terus melarikan diri, tanpa mengendahkan amaran pihak polis supaya berhenti.

"Ketika dalam usaha melarikan diri, motosikal yang ditunggang laju oleh suspek dipercayai terbabas di kawasan Bedong, Sungai Petani menyebabkannya cedera," katanya.

Bagaimanapun, Kamarul Zaman berkata, pegawai perubatan yang ke lokasi kejadian mengesahkan suspek meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat, Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana mencederakan penjawat awam dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 memiliki senjata tiruan.

"Siasatan lanjut diteruskan," katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2021 @ 12:27am
d