mutakhir

Rezeki Saripah dapat bantuan mesin jahit, alatan jahitan

Oleh Rosman Shamsudin

Ipoh: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) meluluskan bantuan mesin jahit dan alatan jahitan baharu berjumlah RM5,000 kepada ibu tunggal, Saripah Sabtiah Halib, 42, yang menjual nasi lemak di hadapan Masjid Jamek Tanjung Malim.

Pegawai Baitulmal Daerah Muallim, Nabil Fikri Mohamad berkata, selain berniaga nasi lemak , ibu tunggal berkenaan mempunyai kemahiran dalam bidang jahitan.

Beliau berkata, sebelum ini ibu tunggal berkenaan sudah menghadiri Kursus Jahitan di Giatmara Tanjung Malim.

"Beliau terpaksa berhenti dalam perniagaan jahitan disebabkan mesin jahit digunakan sebelum ini sudah rosak.

"Urusan membekalkan mesin jahit dan alat jahitan baharu sedang diuruskan dengan pihak pembekal dan dijangka akan diserahkan kepada beliau dalam masa terdekat di bawah Skim Bantuan Modal MAIPk.

"Pemberian bantuan berkenaan berdasarkan kemahiran menjahit dimilikinya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nabil Fikri berkata, Saripah Sabtiah yang mempunyai seorang anak perempuan berumur 14 tahun sudah menerima tiga bantuan daripada MAIPk .

Katanya, antara bantuan diterima ialah bantuan kewangan bulanan RM300, bantuan hari raya RM200 dan bantuan kecemasan kelangsungan hidup daripada dana khas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebanyak RM200.

Akhbar Harian Metro hari ini melaporkan mengenai seorang ibu tunggal yang menjual sebungkus nasi lemak dengan untung hanya 20 sen dan sanggup berbasikal enam kilometer setiap hari pada waktu petang untuk menjual makanan berkenaan.

Saripah Sabtiah yang tinggal di Kampung Cabang Lima Tanjung Malim bersama ibu bapanya, Faridah Othman, 60, dan Halib Ramli, 71, menjual nasi lemak di hadapan Masjid Jamek Tanjung Malim.

Berita berkaitan

'Ibu tunggal gigih berbasikal jual nasi lemak depan masjid [METROTV]'

Disiarkan pada: July 17, 2021 @ 10:30am
d