mutakhir

'Dapat notis saya pi bayar' - MB Kedah

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sedia membayar kompaun bakal dikenakan ke atasnya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika hadir di sebuah pusat pameran kenderaan di Pulau Pinang, awal bulan lalu.

Beliau bagaimanapun berkata, belum lagi menerima notis kompaun itu.

"Saya belum terima notis (membayar kompaun) seperti diperkatakan. Saya tunggulah (notis diserahkan), dah dapat notis, saya pi (pergi) bayar," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Integrasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain yang memaklumkan menerima arahan lanjut berhubung siasatan kes membabitkan Muhammad Sanusi dan kompaun akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Siasatan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Pada 5 Jun lalu, gambar dan video memaparkan individu dipercayai Muhammad Sanusi memandu uji sebuah kenderaan di sebuah pusat pameran di Juru, Pulau Pinang tular dan menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat.

Berita berkaitan

MB Kedah akan dikompaun kes pandu uji kereta

Disiarkan pada: July 17, 2021 @ 11:56am
d