mutakhir

Lima beranak miskin terpaksa tinggal dalam bengkel motosikal [METROTV]

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Kemiskinan dialami menyebabkan lima beranak terpaksa mendiami bengkel motosikal di Kampung Parit 5 Gambut, Sungai Panjang, di sini, sejak 10 tahun lalu.

Lebih menyedihkan, 'syurga' didiami mekanik motosikal, Zainal Abidin Mohamed, 38, isterinya, Sri Idayu Sabran, 34, serta tiga anak berusia dua hingga 10 tahun itu menunggu rebah akibat dimakan anai-anai.

Malah ketiga-tiga anak pasangan suami isteri itu pernah disengat lipan beberapa kali sebelum ini.

Bercerita lanjut, Zainal Abidin berkata, dia melakukan dua pekerjaan iaitu membaiki motosikal pada waktu siang bersama anak buah dan menangkap belut pada sebelah malam.

Katanya, semua itu dilakukan demi menyara keluarganya. Saya perlu berusaha keras kerana dua daripada tiga anak sudah bersekolah selain menjaga ibu (Aminah Ismail, 79) yang sakit darah tinggi dan tidak boleh berjalan.

"Tetapi disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan saya tidak menentu hingga menyebabkan saya tidak dapat membayar bil elektrik dan air," katanya ketika dikunjungi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Parit 5 dan 6 Gambut, Mas Lina Husein tadi.

Sehubungan itu, Zainal Abidin berharap ada pihak yang sudi menawarkan kediaman yang selamat dan selesa untuk membesarkan ketiga-tiga anaknya.

"Dahulunya bengkel ini adalah rumah pusaka. Namun ia terpaksa diubah suai menjadi bengkel motosikal bagi menyara keluarga," katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam (12056022663230) di atas nama Zainal Abidin Mohamed atau menghubunginya di talian 017-3596683.

Sementara itu, Mas Lina berkata, kesusahan dihadapi Zainal Abidin sekeluarga sememangnya dalam perhatian pihaknya.

Katanya, beliau berharap pihak berwajib membantu keluarga itu dengan memberikan sebuah rumah demi keselesaan anak-anak.

Disiarkan pada: July 18, 2021 @ 7:48pm
d