mutakhir

Pengusaha rumah inap, chalet di Johor terima bantuan RM1,000

Oleh BERNAMA

Johor Bharu: Seramai 551 pengusaha rumah inap dan chalet di Johor menerima bantuan insentif secara sekali bayar (one-off) RM1,000 membabitkan nilai keseluruhan RM551,000 bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata bantuan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0 itu diharap membantu pengusaha berkenaan meneruskan perniagaan mereka.

Beliau berkata bagi kategori hotel bajet pula, 267 pengusaha menerima bantuan insentif RM2,000 tiap seorang membabitkan jumlah keseluruhan RM534,000.

"Kerajaan negeri sedar mengenai impak yang dihadapi oleh sektor pelancongan akibat pandemik itu yang hingga kini belum berakhir. Saya berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, pemilik rumah inap Trata'leka Homestay Resort Safiah Isa berkata bantuan berkenaan amat diperlukan bagi menampung kos perbelanjaan operasi rumah inapnya selepas berlaku pengurangan 90 peratus pengunjung sejak tahun lalu.

"Pengurangan ini menyebabkan masalah kewangan untuk membayar kos penyelenggaraan dan sebagainya. Alhamdulillah, bantuan ini dapat menampung perbelanjaan operasi rumah inap khususnya kos penyelenggaraan," katanya dalam kenyataan sama.

Awal bulan lalu, Hasni mengumumkan peruntukan RM1.74 juta disediakan bagi membantu penggiat sektor pelancongan di bawah PRE Ihsan Johor 3.0, dan golongan yang akan menerima bantuan itu termasuk pengusaha hotel bajet, inap desa, pemandu pelancong serta agensi pelancongan yang berdaftar di Johor.

Disiarkan pada: July 18, 2021 @ 8:41pm
d