mutakhir

Elak ziarah pada Aidiladha

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan aktiviti ziarah sempena sambutan Aidiladha esok, bagi mengelak tercetusnya kluster baharu Covid-19.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Othman Warijo berkata, ini susulan pengumuman Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai kemunculan Kluster Dah Kampung Kerchut, Jitra.

Jelasnya, 23 kes baharu dilaporkan berlaku semalam, akibat daripada pertemuan keluarga yang diadakan individu terbabit.

"Kita sahkan mereka terbabit dalam majlis pertemuan keluarga baru-baru ini.

"Oleh itu, saya berpesan supaya semua pihak mengelak pertemuan fizikal bersama ahli keluarga dan saudara yang tidak tinggal serumah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengikut kenyataan dikeluarkan KKM semalam, kes indeks bagi kluster berkenaan adalah kes bernombor 879403 membabitkan seorang lelaki warganegara Malaysia berusia 44 tahun.

Individu berkenaan dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Julai 2021 hasil saringan individu bergejala.

Dr Othman berkata, orang ramai perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang musim perayaan ini.

Katanya, mereka boleh menolak kedatangan tetamu ke rumah dengan baik, termasuk dalam kalangan ahli keluarga yang tinggal berhampiran.

"Buat waktu ini, gunakanlah teknologi seperti media sosial dan kemudahan telekomunikasi sebagai medium berkomunikasi bersama ahli keluarga," katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2021 @ 10:27am
d