mutakhir

Diskaun 50 peratus pemajak tanah Persekutuan terjejas

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Pemajak tanah Persekutuan terlibat dalam sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 boleh menikmati diskaun kadar pajakan sebanyak 50 peratus tahun ini, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata, kadar diskaun itu adalah daripada nilai pajakan tahunan kepada pemajak yang memenuhi kriteria ditetapkan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

"Inisiatif ini diharapkan dapat membantu pemajak untuk menyusun semula aliran tunai bagi mengekalkan perniagaan mereka di atas tanah Persekutuan di samping mengelakkan tanah itu daripada terbiar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sekiranya pemajak tidak memenuhi kriteria yang membolehkan pengurangan kadar pajakan diberikan, pemajak boleh mengemukakan permohonan penjadualan semula bayaran pajakan bagi tahun ini kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan serta dikecualikan denda lewat.

Kerajaan Persekutuan melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan boleh memajak tanah Persekutuan kepada pihak lain berdasarkan Seksyen 221 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 dengan menandatangani perjanjian pajakan mengikut tujuan yang dibenarkan dan dikenakan bayaran pajakan secara tahunan.

Bagaimanapun, ekoran pandemik Covid-19 kerajaan Persekutuan prihatin dengan beban dihadapi oleh pemajak tanah Persekutuan yang terdiri daripada sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan dan pelabuhan.

Shamsul Anuar berkata, kesemua sektor ini adalah sektor paling teruk terjejas dengan Covid-19 dan memerlukan masa untuk kembali stabil.

Oleh itu, kerajaan Persekutuan bersetuju memperkenalkan inisiatif pemberian diskaun tersebut bagi membantu pemajak tanah Persekutuan yang terlibat dalam sektor yang terjejas teruk.

Disiarkan pada: July 19, 2021 @ 2:50pm
d