mutakhir

Datuk Dr Syed Hussian Aljunid terima gelaran Datuk Seri

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena sambutan Ulang Tahun ke-72 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan Western Digital (M) Sdn Bhd, adalah antara dua individu yang menerima Darjah Kedua Tertinggi bagi Pulau Pinang, selain mantan Pengerusi Kumpulan Maybank yang kini Ahli Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Ahmad Fuzi turut menganugerahkan Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) iaitu Darjah Kebesaran Tertinggi bagi Pulau Pinang yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada isterinya, Toh Puan Khadijah Mohd Nor.

Bagaimanapun, semua acara sempena sambutan itu ditangguhkan ke satu tarikh akan diumumkan kelak susulan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mengikut senarai penerima yang diwartakan pada 22 Julai 2021, seramai 1,306 individu menerima anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan.

Ahmad Fuzi turut menganugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada 15 penerima; Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPM) yang membawa gelaran Datuk (14 penerima) dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang turut membawa gelaran Datuk kepada 116 penerima.

Selain itu, seramai 66 individu akan menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (42); Pingat Kelakuan Terpuji (195); Pingat Jasa Kebaktian (287); Pingat Jasa Masyarakat (274) serta Pingat Bakti Setia (24).

Sebelum ini, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang, berkata semua acara sempena sambutan ulang tahun itu ditangguhkan ke satu tarikh akan diumumkan kelak susulan PPN.

Beliau berkata, penangguhan ini berikutan situasi semasa dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan bagi mengekang penularan wabak covid-19 di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, katanya, 10 Julai ditetapkan dan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am sempena sambutan ulang tahun berkenaan.

Disiarkan pada: July 21, 2021 @ 6:42pm
d