mutakhir

'Ingatkan bunyi mercun, rupanya abang, anak saudara ditembak'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Marang: "Saya tidak sangka kejadian ini berlaku kerana kami semua berkawan sejak kecil," kata Fong Swee Heng, 59.

Swee Heng adalah adik kepada Fong Swee Fuan, 65, yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang yang maut selepas ditembak jirannya di Taman Raya Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Kejadian sama turut menyebabkan anak saudara mereka, Teo Hock Beng, 45, parah di dada akibat terkena tembakan sama.

Menurut Swee Heng, dia yang ketika itu mahu ke kedai berhampiran rumah dikejutkan dengan bunyi letupan yang disangka mercun.

"Saya ingat bunyi mercun sebelum ada rakan memaklumkan abang dan anak saudara ditembak.

"Saya ada terserempak dengan jiran (suspek) sebelum kawan beritahu dia yang tembak abang dan anak saudara.

"Walaupun terkejut tetapi saya hanya fikirkan keadaan abang dan anak saudara sebelum bergegas ke lokasi kejadian," katanya ketika ditemui, hari ini.

Swee Heng berkata, sebaik sampai abangnya sudah tidak bernyawa manakala anak saudara juga cedera.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku antara mereka dan menyerahkan segala-galanya (siasatan) kepada polis," katanya.

Disiarkan pada: July 23, 2021 @ 8:05pm
d