mutakhir

50 pokok kelapa sawit tanam secara haram dimusnahkan

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Niat mahu meraih hasil pertama jualan kelapa sawit yang ditanam secara haram dalam Hutan Simpan Lepar tidak menjadi kenyataan apabila 50 pokok itu dimusnahkan.

Operasi Musnah yang dilakukan di kompatmen 33 seluas 0.73 hektar mengambil masa kira-kira dua jam untuk memusnahkan pokok dianggarkan berusia antara empat hingga lima tahun itu.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, individu terbabit menggunakan kaedah tanam dan tinggal di peringkat awal dan apabila pokok mencapai usia dua hingga tiga tahun mereka mula membaja mengikut sistem.

Katanya, bagi mengelak dikesan pihak berkuasa individu terbabit membiarkan kawasan kebun ditumbuhi rumpai tebal.

"Kebun kelapa sawit haram itu dikesan selepas Unit Tindakan Khas (UTK) PHD Kuantan, Pekan dan Maran yang melakukan rondaan berkala bagi cegah ceroboh kawasan hutan simpan di daerah ini.

"Kedudukan kebun berkenaan dalam kawasan bekas lesen pembalakan, ia dipercayai didalangi seorang individu tempatan. Bagaimanapun kita gagal mengesan dalang itu," katanya yang turut sama menyertai operasi berkenaan, semalam.

Beliau berkata, individu yang melakukan kegiatan itu dipercayai sudah biasa dengan kawasan terbabit dan mengambil kesempatan untuk menanam pokok kelapa sawit selepas aktiviti pembalakan di situ selesai.

Norshazlee berkata, Operasi Musnah semalam yang disertai lebih 40 kakitangan PHD Kuantan, Pekan dan Maran termasuk Unit Penguatkuasa Zon Pahang Timur Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), dengan pemantauan sepenuhnya oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjamin keselamatan petugas.

Disiarkan pada: July 24, 2021 @ 9:51am
d