mutakhir

Pecut kenderaan, cemas lihat polis

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Dua sekawan 'lalok' cemas ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Parlimen sebelum cuba melarikan diri, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 pagi itu, lelaki berusia 25 tahun itu menaiki Perodua Alza melalui Jalan Parlimen namun tidak berhenti ketika melalui SJR sebaik diminta anggota polis bertugas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek kemudian membuat pusingan U tidak jauh dari pintu masuk Parlimen dan memecut menuju Jalan Mahameru.

Menurutnya, polis yang menjalankan Ops Parlimen kemudian mengejar suspek dan berjaya menahan kenderaan itu tidak jauh dari lokasi SJR.

"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek di bawah pengaruh dadah dan cemas selepas terserempak dengan SJR dijalankan polis.

"Hasil semakan juga mendapati suspek memiliki rekod jenayah dan kesalahan penyalahgunaan dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan mendapati suspek positif metaphetamine.

Katanya, suspek kini direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1990 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: July 27, 2021 @ 3:32pm
d