mutakhir

Warga emas miliki daun ketum ditahan

Oleh Juwan Riduan

Beaufort: Seorang lelaki warga emas ditahan selepas didapati membawa 24.8 kilogram daun ketum dalam pemeriksaan jalan di Kilometer 8, Jalan Beaufort - Membakut, di sini, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, lelaki berusia 66 tahun yang memandu sebuah pacuan empat roda ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek ditahan dalam Op Cegah Kemalangan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Katanya, ketika pemeriksaan, polis menemukan dua guni besar di bahagian tempat duduk belakang kereta suspek.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, dua guni berkenaan mengandungi daun disyaki ketum.

"Pemeriksaan fizikal yang dijalankan terhadap suspek tidak menemui sebarang kesalahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke IPD Beaufort bersama barang rampasan untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif dan suspek diserahkan ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2021 @ 10:01am
d