mutakhir

Tiada permintaan, pengusaha timun buntu [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Dua beradik yang juga pengusaha timun batang buntu selepas terpaksa membuang 1.5 tan hasil tanamanya setiap hari susulan berlaku lambakan dan tiada permintaan sayur berkenaan di pasaran.

Nik Azrin Nik Yaakub, 29, dan abangnya, Nik Izani Nik Yaakub, 46, kerugian hampir RM2,000 sehari apabila timun batang yang diusahakan mereka langsung tidak terjual sejak dua minggu lalu.

Keadaan itu menyebabkan berlakunya lambakan dan pembaziran sayur walaupun mereka sudah mengambil inisiatif memberikan timun batang secara percuma kepada sesiapa sahaja yang menginginkanya.

Nik Azrin berkata, dia dan abangnya mula mengusahakan tanaman timun batang dan timun 'baby' sejak tiga tahun lalu, dan berlaku pengurangan permintaan sejak Januari tahun ini sebelum ia semakin teruk sejak kebelakangan ini.

"Kami biasanya menghantar hasil tanaman berkenaan ke Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di Kota Bharu setiap pagi untuk dijual kepada pemborong, tetapi kini lambakan turut berlaku di sana kerana kekurangan pembeli.

"Bila keadaan ini terjadi, secara tidak langsung harga timun batang turun mendadak kepada hanya 50 sen sehingga RM1 sahaja untuk sekilogram. Kami yang hanya mengharapkan kepada hasil tanaman juga hilang punca pendapatan.

"Sebenarnya, kami bukan hanya berdiam diri sebaliknya cuba mencari inisiatif lain dengan menjual sendiri timun batang di kampung-kampung dan berniaga melalui dalam talian tetapi lambakan tetap berlaku," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Pulai, Mukim Chicha Tinggi, di sini, hari ini.

Nik Azrin mengakui mereka turut mengusahakan tanaman Lada Solod sebelum ini, namun mengambil keputusan memberhentikanya seketika sejak Mei lalu kerana turut tidak mendapat sambutan di pasaran.

"Lebih memeritkan, apabila kami terpaksa menghabiskan sebanyak RM4,000 sebulan untuk kos baja dan racun bagi memastikan hasil timun batang yang dikeluarkan berkualiti tinggi.

"Tiada lain yang kami mahukan selain berharap supaya pihak berkaitan dapat membantu masalah yang dihadapi ini, kerana saya percaya bukan kami sahaja yang berhadapan isu lambakan sayur tetapi rakan petani lain juga," katanya.

Sementara itu, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya menyediakan khidmat pemasaran bagi membantu mengatur pasaran dengan Rakan Pemasar FAMA di RTC dan Outlet-outlet FAMA di Kelantan selain membuat lawatan terus di ladang.

"Selain itu, FAMA turut menawarkan jualan secara promosi terus dari ladang di lot RTC Kelantan bagi mendapat pulangan yang lebih baik.

"Kepada petani yang memerlukan khidmat pemasaran dari FAMA, boleh menghubungi terus Pejabat FAMA berdekatan atau Bilik Gerakan FAMA Negeri Kelantan di talian 012-3684203atau 012- 3680125," katanya.

Disiarkan pada: July 28, 2021 @ 3:44pm
d