mutakhir

4 beranak tidur di terminal bas

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Bergenang air mata hampir setiap malam ketika melihat dua anak tidur hanya beralaskan tikar dan suasana bising, tetapi sekurang-kurangnya ada tempat bagi kami melelapkan mata.

"Sudah lama kami tidur bersesak dengan gelandangan lain dan itu sahaja pilihan kami selepas keluar dari rumah sewa di Seberang Perai."

Itu luahan seorang lelaki berusia 39, yang bergelandangan sejak diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan pada Mac tahun lalu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

Sejak itu, dia dan isteri berusia 35, serta dua anak mereka berusia 11 dan lima tahun, terpaksa 'berumah' di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang.

"Sudah dua tahun kami hidup begini sebelum terpaksa tinggal di Terminal Bas Komtar ini sejak dua bulan lalu.

"Syukurlah di sini, terdapat sukarelawan yang memberi makanan kepada golongan gelandangan sekurang-kurangnya dua anak kami tidak kelaparan.

"Cuma kami bimbang keselamatan anak selain terdedah kepada persekitaran tidak sihat," katanya ketika ditemui di sini.

Mengulas lanjut lelaki itu berkata, ramai yang bersimpati dan mahu memberi tawaran pekerjaan namun sehingga kini masih tiada khabar.

Katanya, dia akur dan faham kerana mungkin ketika ini peluang pekerjaan amat kurang berikutan ramai majikan yang terkesan akibat pandemik.

"Tiada siapa yang hendak hidup susah dan saya juga tidak mahu meminta-minta, kerana itulah kami pilih hidup begini supaya tidak menyusahkan sesiapa

"Memang saya hendak bekerja semula bagi membina hidup baru tambahan pula memikirkan masa depan anak," katanya lagi.

Tinjauan mendapati keluarga itu menjadikan tempat duduk di terminal bas itu sebagai tempat rehat dan menyimpan barangan mereka.

Difahamkan waktu malam, mereka menghampar tikar di lantai terminal berkenaan bagi melelapkan mata dan menggunakan tandas awam bagi membersih diri.

Kehidupan malang keluarga berkenaan turut mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Ihsan Muda Pulau Pinang yang akan membantu mereka bagi mendapatkan pekerjaan.

Presidennya Mohd Arshad Abdul Rahman berkata, pihaknya juga akan mencari rumah dalam masa seminggu dan akan menanggung sewaan sehingga keluarga itu mampu membayar sendiri.

Disiarkan pada: July 28, 2021 @ 5:23pm
d