mutakhir

JKNJ syaki varian baharu di kilang elektronik

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mengesyaki kemungkinan berlaku jangkitan Covid-19 membabitkan varian baharu 'variant of concern' (VOC) di kilang elektronik di Tanjung Agas, Tangkak.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, ia disebabkan bilangan kematian yang dilaporkan adalah tinggi membabitkan 13 pekerja setakat ini, walaupun masih belum ada pengesahan melalui ujian makmal, setakat ini.

Katanya, JKNJ mengesahkan insiden yang berlaku di kilang elektronik berkenaan yang tular di media sosial membabitkan Kluster Persiaran Agas.

"Kluster Persiaran Agas diisytiharkan pada 9 Julai lalu membabitkan pekerja daripada sebuah kilang elektronik pembuatan semikonduktor di Tanjung Agas, Tangkak.

"Sehingga semalam, jumlah kes yang dilaporkan di dalam kluster ini adalah

sebanyak 462 kes dengan sejumlah 13 kematian dilaporkan membabitkan kluster berkenaan, setakat ini.

"Dari bilangan itu seramai 207 (44.8 peratus) orang membabitkan pekerja kilang itu, di mana 155 adalah warga tempatan, manakala 52 kes adalah di kalangan bukan warganegara.

"Sebanyak 255 kes lain adalah kes yang dilaporkan di kalangan ahli keluarga dan kenalan pekerja-pekerja kilang itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, hampir kesemua daripada kematian itu dilaporkan mempunyai komorbiditi atau penyakit kronik dan lewat mendapat rawatan dalam tempoh empat hari (julat 1 hingga 9 hari) dari onset gejala dan tarikh mendapat rawatan.

Katanya, punca utama penularan secara meluas di Tanjung Agas dikesan disebabkan oleh ketidakpatuhan penjagaan prosedur standard operasi (SOP) di kalangan pekerja di tempat kerja mahupun di dalam komuniti.

"Ini dapat dilihat dari peratusan tinggi kes penularan membabitkan komuniti di kawasan Tanjung Agas.

"Sebagai langkah pencegahan segera, JKNJ mengarahkan tindakan memanjangkan tempoh kuarantin ke 21 hari diambil bagi kesemua kontak rapat kes penularan membabitkan kilang berkenaan," katanya.

Vidyananthan berkata, kes pertama yang dilaporkan di dalam kluster ini membabitkan seorang pekerja kilang yang mula bergejala (demam) pada 24 Jun lalu, namun sehingga 28 Jun, pekerja berkenaan masih lagi berkerja di kilang terbabit.

"Pemeriksaan serta ujian calitan RT-PCR diklinik kesihatan mengesahkan dia positif Covid-19 pada 2 Julai lalu.

"Susulan itu, wakil Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tangkak membuat siasatan di kilang pada 2 Julai lalu dan hasil pengesanan kontak dan saringanmendapati beberapa kes lagi dikenal pasti membabitkan pekerja kilang.

"Berikutan bilangan kes dan kematian yang tinggi, JKNJ membuat susulan ke atas tindakan pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan di kluster itu termasuk arahan penutupan kilang yang dilaksanakan bermula dari 3 Julai lalu bagi tujuan siasatan dan aktiviti sanitasi.

"Ia bermula dengan penutupan seksyen yang melaporkan kes di peringkat awal di akhiri penutupan sepenuhnya keseluruhan kilang pada 14 Julai sehingga 20 Julai lalu," katanya.

Vidyananthan berkata, 2,501 ujian calitan Covid-19 dijalankan dan 462 kes positif dikenal pasti setakat ini dengan kadar positif 18.5 peratus dengan 2,039 lagi hasil ujian adalah negatif.

"Kilang ini mempunyai seramai 4,057 orang pekerja yang majoritinya iaitu 3,806 adalah pekerja warga tempatan yang menetap di Tangkak, Muar dan Jasin, Melaka manakala 251 orang lagi adalah pekerja asing.

"Sehingga 28 Julai 2021, seramai 1,495 pekerja kilang diarahkan menjalani kuarantin di rumah (HSO) kerana disyaki sebagai kontak rapat.

"Tempoh kuarantin juga ditingkatkan ke 21 hari memandangkan bilangan kematian yang tinggi menyebabkankemungkinan berlakunya penularan kes VOC di kilang terbabit.

Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 1:33pm
d