mutakhir

FAMA bantu pasarkan timun

Oleh Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan akan membantu memasarkan hasil lambakan timun batang yang diusahakan dua beradik di Pasir Mas, melalui Pusat Operasi FAMA bermula hari ini.

Pengarah FAMA Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad berkata, langkah itu diambil bagi membantu pengusaha timun batang yang buntu susulan berlaku lambakan sayur berkenaan sejak kebelakangan ini.

Katanya, FAMA turut mengatur pasaran bagi menemukan pemborong swasta dengan pengeluar selain menyediakan ruang pasaran di outlet peruncitan agar pengeluar dapat memasarkan sendiri hasil pertanian mereka.

"Selain itu, pengusaha timun batang terbabit diminta membuat laporan awal sekiranya berlaku lebihan hasil kepada pihak FAMA bagi mengatasi masalah ini.

"Sementara itu, terdapat juga pemborong sayur dari negeri lain yang menghubungi FAMA untuk membeli hasil tani daripada pekebun. Jadi, pihak kami dapat mengatur supaya pasaran timun batang dapat diperluaskan.

"Pihak FAMA turut mengemukakan senarai pemborong sayur-sayuran di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong yang berpotensi selain menggalakkan usahawan berdaftar di dalam Program Ladang Kontrak MAFI 2.0," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Semalam, akhbar melaporkan dua beradik, Nik Azrin Nik Yaakub, 29, dan abangnya, Nik Izani Nik Yaakub, 46, yang juga pengusaha timun batang, buntu selepas terpaksa membuang 1.5 tan hasil tanamannya setiap hari susulan berlaku lambakan dan tiada permintaan sayur berkenaan di pasaran.

Mengulas lanjut, Wan Nora berkata, siasatan juga mendapati isu itu turut berlaku susulan Covid-19 dalam kalangan pemborong di RTC, manakala pasaran di Lembah Klang perlahan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Nik Azrin, ketika dihubungi berkata, mereka bersyukur kerana masalah mereka mendapat perhatian pihak Fama selain berterima kasih kerana sudi memasarkan lambakan timun batang di kebun mereka.

"Kami turut menerima panggilan beberapa individu yang menyatakan hasrat membeli timun batang ini dalam kuantiti yang banyak selepas membaca artikel di akhbar.

"Diharap dengan bantuan FAMA, ia dapat melariskan jualan timun batang kerana kami juga sedih untuk melihat hasil dibuang begitu sahaja," katanya.

Berita berkaitan:

  • Tiada permintaan, pengusaha timun buntu
  • Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 4:37pm
    d