mutakhir

Upah GRO jadi peneman parti liar

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Empat lelaki tempatan dikenakan kompaun selepas mengadakan parti liar dengan mengupah tiga wanita warga asing untuk 'menemani' mereka di sebuah unit kondominium di Jalan Dang Wangi, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya membuat serbuan di unit kediaman di tingkat 27 kondominium jam 10 malam tadi.

"Dalam serbuan itu, kami mendapati tujuh individu termasuk tiga wanita berusia antara 26 hingga 33 tahun mengadakan parti liar serta kegiatan pelacuran.

"Susulan itu, kami mengeluarkan kompaun terhadap empat lelaki tempatan berkenaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tindakan itu diambil mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan 2021," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit mengupah wanita warga asing berkenaan yang dipercayai pelayan pelanggan (GRO) untuk 'melayani' mereka di kediaman itu.

"Difahamkan wanita warga asing berkenaan menerima upah RM1,000 setiap seorang bagi tempoh lima jam 'melayan' kumpulan lelaki itu.

"Siasatan awal dilakukan mendapati kediaman itu disewa pada harga RM700 semalam. Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap tujuh individu terbabit didapati negatif dadah," katanya.

Katanya, tiga wanita warga asing itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.

Keterangan gambar:

1. ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan parti liar dan pelacuran di sebuah unit kondominium di Jalan Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.

From: No'Rule

Disiarkan pada: July 31, 2021 @ 4:29pm
d