mutakhir

Pak Rahim 'promosi' semangat patriotisme di PPV

Oleh Nuraliawati Sabri

Alor Gajah: Gelagatnya yang lengkap berpakaian Jalur Gemilang menarik perhatian ramai sebaik melangkah masuk ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Lendu di sini, hari ini.

Pesara tentera Md Rahim Maskop, 52, berkata, dia nekad menggayakan pakaian itu sambil mengibarkan Jalur Gemilang ketika menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19, sekali gus mahu meniupkan semangat patriotik menjelang bulan kemerdekaan yang bermula esok.

Katanya, setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam menzahirkan semangat patriotik termasuk dia yang memilih untuk mengenakan busana yang diperbuat daripada Jalur Gemilang.

"Jika sebelum pandemik, setiap tahun pada bulan kemerdekaan saya akan mengayuh basikal di kawasan sekitar Alor Gajah dan Tampin, Negeri Sembilan namun disebabkan keadaan tidak mengizinkan, saya ambil peluang hari ini mengenakan busana ini.

"Saya tidak sangka akan menjadi tumpuan di PPV, bukan hanya ada yang minta bergambar malah saya turut mendapat tepukan daripada petugas serta penerima vaksin," katanya ketika ditemui, selepas menerima suntikan vaksin, hari ini.

Katanya, dia tidak mahu disebabkan Covid- 19 yang melanda kini, masyarakat hanya terarah kepada wabak itu dan 'menyambut sepi' kehadiran bulan kemerdekaan.

"Walaupun kita sedang bergelut dengan pandemik ini namun sebagai rakyat Malaysia kita mempunyai banyak cara untuk menyatakan rasa cinta terhadap tanah air.

"Sekurang- kurangnya apabila saya berpakaian seperti ini, ia secara tidak langsung memupuk rasa cinta kepada negara terutamanya untuk generasi muda serta ," katanya.

Menurutnya, sambutan kemerdekaan yang tidak lagi seperti kelaziman sebelum ini menyebabkan dia cuba menyerapnya ketika mengambil suntikan vaksin dan dikenang sebagai kenangan yang berlaku sekali seumur hidup.

Disiarkan pada: July 31, 2021 @ 4:42pm
d