mutakhir

Selangor laksana pemberian vaksin 'walk-in' di 12 lokasi

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerajaan Selangor akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 secara 'walk-in' di 12 lokasi di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 2 Ogos ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu adalah untuk memudahkan proses vaksinasi selain daripada temujanji yang diterima melalui aplikasi MySejahtera dan SELangkah.

"Selain daripada temujanji yang diterima daripada MySejahtera dan SELangkah, pelaksanaan secara 'walk-in' turut dilaksanakan di kawasan DUN bagi mempermudah proses vaksinasi berkuat kuasa 2 Ogos hingga 2 September dan tertakluk kepada jadual pelaksanaan di DUN berkenaan.

"Dengan itu, setiap satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di DUN akan diperuntukkan sebanyak 1,300 suntikan sehari dengan jangkaan dua hari untuk setiap DUN. Diharap usaha ini akan memperlengkap Operasi Lonjakan Kapasiti yang sedang digerakkan di Greater Klang Valley," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lokasi PPV terbabit ialah Dewan Banting Baru, Morib; Dewan Pandan Indah; Dewan Majlis Bandar Baru, Kuala Selangor; Dewan Dato' Abdul Hamid, Batang Kali; Dewan Sekolah Cina, Ijok; Dewan Orang Ramai Hulu Bernam; Dewan Seri Siantan, Selayang; Dewan Sri Cempaka, Kajang; Dewan Eng Ann, Klang; Dewan Komuniti Putra Perdana, Dengkil; Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar serta Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU5, Ampang.

Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan bahawa 65.5 peratus daripada individu dewasa di Selangor sudah menerima suntikan dos pertama.

"Berasaskan kapasiti setakat ini, kerajaan negeri yakin bahawa kerjasama bersepadu di antara Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta tambahan Program Vaksin Selangor (SelVAX) dapat membawa warga Selangor mencapai imuniti kelompok dalam masa kurang daripada sebulan dengan sasaran imuniti kelompok dijangka dicapai apabila 80 peratus daripada populasi dewasa divaksin.

"Justeru, program percuma SelVAX Komuniti yang sedang berlangsung akan diteruskan sehingga 11 Ogos sebagai salah satu strategi kerajaan Selangor untuk menampung serta mempercepat pelaksanaan PICK," katanya.

Disiarkan pada: July 31, 2021 @ 9:51pm
d