mutakhir

Datuk didakwa cabul 2 cucu [METROTV]

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Seorang datuk berusia 62 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan melakukan amang seksual terhadap cucunya, antara Ogos dan September tahun lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pendakwaan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut fakta kes, bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas cucu berusia 10 tahun di sebuah rumah manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas cucunya yang berusia lapan tahun di tempat sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Harun manakala tertuduh diwakili peguam, Haresh Mahadevan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh atas keselamatan mangsa.

Bagaimanapun, peguambela tertuduh ketika membuat rayuan, memohon supaya mahkamah menawarkan jaminan yang rendah berikutan tidak lagi berhubung dengan keluarga mangsa sejak Disember 2020 selain memberikan kerjasama dengan pihak polis.

Hakim kemudian memutuskan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin manakala tertuduh tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes itu pada 2 September depan.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 12:04pm
d