mutakhir

Perlis cadang sekatan kepada perentas negeri [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Kangar: Kerajaan negeri Perlis akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya mengadakan sekatan terhadap individu yang merentas negeri bekerja di dalam atau di luar Perlis.

Sebaliknya, individu berkenaan akan dibenarkan bekerja dari rumah atau 'work from home (WFH)' bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 di negeri itu yang kini semakin meningkat.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, boleh dikatakan kebanyakan kes jangkitan Covid-19 di negeri ini adalah akibat kontak rapat kepada individu yang merentas negeri dari dalam dan luar Perlis.

"Seperti permulaan kes penularan (di Kuala Perlis) apabila individu bertugas di Kedah dan Pulau Pinang atau individu dari luar datang ke negeri ini kerana bekerja, mereka inilah yang menjadi punca kepada bertambahnya jangkitan penularan Covid-19 di sini.

"Di peringkat awal ini mungkin saya akan mencadangkan kepada pihak MKN dalam mesyuarat yang diadakan setiap Isnin dan Khamis untuk mungkin tidak membenarkan mereka ini merentas negeri lagi dan dibenarkan untuk bertugas atau bekerja dari rumah

"Jadi saya sudah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk melihat bagaimana kita boleh mengatasi masalah ini terutama sekali terhadap mereka yang bekerja dengan merentas negeri ini kerana mereka ini sama ada yang bertugas dengan agensi kerajaan ataupun swasta," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan selepas menghadiri Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di perkarangan Masjid Kampung Nesam, Bintong, di sini, hari ini.

Katanya, selain itu juga, dalam kes kecemasan seperti ahli keluarga sakit atau berlaku kematian, sebolehnya dapat bersabar dan elakkan melakukan ziarah supaya penularan jangkitan Covid-19 itu dapat dikekang.

"Bersabarlah dahulu dan tidak payahlah untuk pergi menziarah kerana kita tidak mahu menjangkiti ahli keluarga lain atau dijangkiti dengan Covid-19 ini.

"Dalam hal ini sebenarnya kita (kerajaan negeri) tidak dapat memaksa dan apa yang dapat kita lakukan adalah menasihati sahaja serta mendapatkan kerjasama daripada semua pihak supaya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu terus dipatuhi setiap masa," katanya.

Beliau berkata, banyak komen atau cadangan lain yang diterima olehnya daripada netizen menerusi setiap hantaran atau 'posting' di laman sosial Facebook dan ada cadangan ini juga boleh dipertimbangkan kelak.

"Ada cadangan supaya perentas negeri ini diberikan gelang berwarna kuning yang menunjukkan bahawa mereka ini adalah individu yang merentas negeri dan orang ramai diminta berhati-hati apabila berjumpa individu ini.

"Malah ada juga mencadangkan supaya ujian calitan atau 'swab' diberikan kepada perentas negeri sebelum mereka dibenarkan memasuki Perlis dan kita cadangan ini sekiranya praktikal dan tidak membebankan atau mendatangkan masalah kepada pelbagai pihak termasuk petugas barisan hadapan maka ia boleh dipertimbangkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 4:03pm
    d