mutakhir

Rempuh pintu pasar raya dengan forklift [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Arau: Seorang penjenayah nekad memecah masuk sebuah pasar raya dengan melanggar pintu kaca premis menggunakan jentera pengangkut barang atau 'forklift' sebelum melarikan 30 telefon bimbit dalam kejadian di Kompleks Tok Arau, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku jam 4.06 pagi.

"Siasatan mendapati terdapat seorang lelaki memandu sebuah 'forklift' milik pasar raya berkenaan yang diletakkan di parkir motosikal lalu melanggar pintu masuk kaca yang menghubungkan tempat parkir berbayar itu sehingga ia terbuka.

"Suspek kemudian masuk dan menggeledah kedai telefon bimbit dan aksesori yang terletak bersebelahan pintu masuk utama pasar raya.

"Suspek mengumpil rak kaca kedai itu lalu mencuri 25 telefon bimbit," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Katanya, suspek kemudian naik ke tingkat satu pasar raya dan menuju ke sebuah lagi kedai telefon bimbit dan aksesori.

"Suspek turut mengumpil dan mencuri lima telefon bimbit yang dihantar pelanggan untuk dibaiki dan wang tunai dianggarkan berjumlah RM600.

"Suspek kemudian melarikan diri dan kejadian hanya disedari jam 9.15 pagi semasa pengawal keselamatan masuk untuk memulakan tugasnya," katanya.

Beliau berkata, nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM13,680.

"Siasatan awal mendapati suspek mengambil masa 15 minit untuk melakukan perbuatan berkenaan dan kawasan kejadian dilengkapi dengan CCTV.

"Kita tidak menolak kemungkinan perbuatan dilakukan oleh orang dalam dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 4, 2021 @ 4:25pm
d