mutakhir

Kes Zahid Hamidi tangguh, pejabat peguam terdedah Covid-19

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Perbicaraan kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi, yang dijadualkan di Mahkamah Tinggi, di sini, esok ditangguhkan sehingga 24 Ogos selepas pejabat seorang daripada peguamnya terdedah dengan jangkitan Covid-19.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu, ketika dihubungi Bernama memaklumkan penangguhan berkenaan berikutan beberapa staf di pejabatnya disahkan positif Covid-19.

"Saya membuat permohonan itu kepada mahkamah pada 2 Ogos lepas kerana kesukaran untuk mengakses dokumen-dokumen perbicaraan yang kini berada di pejabat. Mahkamah telah benarkan penangguhan itu.

"Pejabat terpaksa ditutup sementara waktu berikutan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan staf di firma saya," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran, yang mengetuai pasukan pendakwaan, mengesahkan penangguhan itu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah sebelum ini menetapkan enam hari mulai esok untuk mendengar hujah kedua-dua pihak selepas pendakwaan menutup kesnya pada 19 Mac lalu selepas memanggil 99 saksi.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Disiarkan pada: August 4, 2021 @ 5:07pm
d