mutakhir

Guna helah bakar tayar atas bot, elak ditahan [METROTV]

Oleh Zaid Salim

Kuala Terengganu: Nelayan Vietnam menggunakan helah membakar tayar dan peralatan menangkap ikan di atas bot bagi menghasilkan tebal untuk mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, perbuatan itu dikesan dilakukan oleh dua bot nelayan yang dinaiki 18 kru dan dua tekong berusia 17 tahun hingga 44 tahun pada 12.30 tengah hari, Selasa lalu pada jarak 66 batu nautika dari Kuala Kemaman.

"Dua bot terbabit dikesan melakukan tangkapan ikan menggunakan kaedah tunda ganding oleh Kapal Maritim (KM) Gemia yang sedang melakukan rondaan Op Khas Kuda Laut Dan Op Naga Barat.

"Sebaik menyedari kehadiran kapal maritim, nelayan terbabit bertindak memotong tali pukat sebelum melarikan diri ke arah sempadan perairan negara.

"Ketika melarikan diri, nelayan terbabit nekad membakar tayar dan beberapa peralatan lain di atas bot berkenaan bagi mengeluarkan asap tebal selain mengelak bot mereka dihampiri kapal maritim," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, berikutan tindakan itu, pihaknya terpaksa mengambil masa selama satu jam bagi mengejar dua bot nelayan terbabit sebelum kedua-duanya berjaya ditahan kira-kira 20 batu nautika dari sempadan perairan Terengganu/Vietnam.

"Anggota maritim bertindak terjun ke bot nelayan terbabit dan menahan kru dan tekong sebelum berjaya memadamkan api.

"Kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit atau kebenaran sah menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

"Penggeledahan dilakukan turut menemukan hampir 3.5 tan hasil laut membabitkan ikan campur dan ikan baja serta bekalan diesel sebanyak 1,500 liter," katanya.

Menurutnya, kesemua hasil laut termasuk peralatan menangkap ikan dan bekalan diesel serta bot dirampas membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM3 juta.

Sementara itu empat bot nelayan Vietnam dilupuskan untuk dijadikan tukun tiruan pada jarak empat batu nautika dari Pantai Batu Buruk.

Disiarkan pada: August 5, 2021 @ 8:53pm
d