mutakhir

Kes amang seksual artis veteran, siasatan masih berjalan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Subang Jaya: Siasatan berhubung kes amang seksual membabitkan artis lelaki tahun 80-an yang juga bapa kepada penyanyi wanita itu masih berjalan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan.

"Apabila kertas siasatan sudah lengkap akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

"Setakat ini siasatan masih berjalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan artis veteran berkenaan ditahan selepas dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan sejak Ogos tahun lalu.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 3 petang, 21 Julai lalu.

Kejadian pertama berlaku terhadap mangsa berusia 14 tahun itu pada Ogos tahun lalu di rumah rakan ibunya di sebuah kondominium di Puchong Prima.

Dua lagi kejadian amang seksual fizikal dilakukan suspek terhadap mangsa yang masih bersekolah di Tingkatan Dua di sebuah sekolah menengah di Puchong itu berlaku pada Oktober dan November lalu.

Suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan polis memandangkan dia menghidap penyakit jantung.

Disiarkan pada: August 6, 2021 @ 1:11pm
d