mutakhir

Hati-hati, ada pelitup muka 'cap ayam' di pasaran

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Waspada susulan wujudnya pelitup muka tiruan berkualiti rendah dijual di pasaran ketika ini.

Difahamkan pelitup muka berkualiti rendah itu mengakibatkan pengguna mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan wajah mereka mula berjerawat selepas menggunakannya.

Ini terbukti apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mengesan dan merampas pelitup muka jenama Neutrovis tiruan bernilai RM60,000 di Johor baru-baru ini.

Pemilik Maystar Beauty Sdn. Bhd. yang juga syarikat pengeluar jenama Neutrovis, Zayn Puah berkata, operasi serbuan itu dilakukan di tiga lokasi di negeri itu membabitkan produk tiruan menggunakan jenamanya.

Menurutnya, berdasarkan aduan daripada pelanggan, pihak syarikat mengesan terdapat banyak pelitup muka Neutrovis tiruan di pasaran.

"Susulan itu kami melaporkannya kepada KPDNHEP sebelum tindakan rampasan diambil di tiga premis sekitar Taman Sentosa dan Tebrau, Johor.

"Susulan itu kami bertemu dengan peguam dan sudah mendapatkan injuksi mahkamah. Tindakan ini membolehkan syarikat kami bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap pengedar pelitup muka palsu.

"Pelitup muka tiruan ini belum menjalani sebarang ujian oleh Medical Device Authority (MDA) dan bahan yang digunakan juga tidak dapat dikenalpasti," katanya.

Menurutnya, mangsa tertipu turut membuat aduan mengalami kesukaran bernafas, gelung telinga terlalu kasar dan wajah mereka mula berjerawat ketika menggunakan pelitup muka tiruan ini.

"Ia jauh berbeza dengan pelitup muka yang mereka gunakan sebelum ini. Tambahan lagi, pengguna ini mungkin terdedah kepada bahaya Covid-19 walaupun tujuan sebenar untuk melindungi diri sendiri dan juga orang lain.

"Penggunaan pelitup muka tiruan ini dapat menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan pengguna dan mereka berada di sekeliling. Oleh itu tindakan pantas harus diambil untuk membendungnya.

"Susulan itu kami melampirkan pelekat pengesahan dengan kod QR unik pada semua produk pelitup muka jenis empat lapis ini.

"Kami turut memberitahu kepada orang ramai menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi berhubung laman dalam talian yang didapati menjual produk Neutrovis tiruan," katanya.

Penjualan produk tiruan boleh diambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu menggunakan cap dagangan palsu ke atas barangan bagi tujuan perdagangan, yang mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM250,000 dan kesalahan kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000 bagi syarikat atau perbadanan.

Disiarkan pada: August 6, 2021 @ 9:04pm
d