mutakhir

Aktiviti sukan dan riadah dibenarkan [METROTV]

Oleh Shamran Sarahan dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Aktiviti sukan dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan dibenarkan kepada individu yang lengkap dua dos vaksin, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, aktiviti sukan dan rekreasi amat penting bagi memastikan tahap kesihatan minda dan kecergasan fizikal yang baik untuk rakyat, justeru aktiviti ini dibenarkan dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, ia perlu dilakukan di kawasan terbuka (outdoor) termasuk separa terbuka bermula 6 pagi hingga 10 malam.

"Operasi bilik persalinan atau bilik mandi di premis club house adalah tidak dibenarkan. Ini bagi mengelakkan perkumpulan selepas bersukan dan mengurangkan risiko jangkitan.

"Aktiviti yang dibenarkan adalah seperti jogging, senaman, taichi, berbasikal, skateboarding, memancing, ekuestrian, memanah, mendaki, tenis (single), badminton (single), golf, permotoran dan seumpamanya," katanya dalam Perutusan Khas secara maya, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, aktiviti pelancongan dalam negeri yang sama dibenarkan membabitkan inap desa dan hotel.

"Pengusaha homestay dan hotel perlu pastikan mereka yang ingin memasuki premis mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 (digital certificate Covid-19 vaccination) yang menunjukkan bahawa individu tersebut sudah menerima vaksinasi lengkap," katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2021 @ 5:56pm
d